Adakah wujud couple dalam Islam? Jawapannya adalah ya.
Couple bererti pasangan. Pasangan dalam Islam itu ialah nikah. Hubungan yang
sah melalui pernikahan. Berkata Imam Nawawi: "Nikah secara bahasa adalah
bergabung, atau digunakan untuk menyebut "akad nikah", atau digunakan
juga untuk menyebut hubungan seksual."
Kebanyakkan anak muda Islam kini fobia dengan perkataan atau
istilah couple yang seringkali diterjemah kepada hubungan yang masih belum sah
melalui istiadat pernikahan. Manusia diciptakan dengan fitrah menyukai satu
sama lain. Siapa kita nak menolak fitrah yang diberi? Sepatutnya ia terpulang
pada kita bagaimana kita melunaskan perasaan cinta itu dengan cara yang
terbaik.
Hadirnya perasaan cinta itu adalah daripada Allah azza
wajalla. Dia yang melemparkan perasaan itu kepada kita setelah kita melihat
sesuatu terutamanya insan lain. Cinta juga adalah suatu ujian dari Allah untuk
kita. Ujian ini umpama bagaimana kita mencampurkan bahan yang disediakan untuk
menjadi hidangan yang dapat dinikmati oleh kita dan juga orang lain berdasarkan
panduan yang diberi oleh Allah yakni al-Quran.
Terdapat banyak nas dan hadis Rasulullah saw dalam
menceritakan perihal-perihal perkahwinan dan galakan terhadap anak muda
termasuk panduan dalam pernikahan seterusnya ke urusan kekeluargaan.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan
rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri
dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya,
dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah ar-Rum ayat 21
Allah telahpun menyediakan seseorang buat kita. Apa yang
kita perlu adalah berusaha untuk menjadi yang terbaik buat pasangan kelak,
nescaya bakal pasangan kita akan melakukan perkara yang sama. In shaa Allah.
Terjemahan ayat quran diatas menceritakan bahawa, bakal pasangan kita juga
adalah dari jenis kita; atau sifat yang sama seperti kita yang membuatkan kita
sesuai dan saling melengkapi.
“Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang
berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat
menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri.” Riwayat Bukhari dan Muslim
Dalam pemilihan jodoh, kita perlu menitikberatkan dari segi
persiapan diri ini dahulu seperti, bagaimana kelengkapan ilmu agama kita? Ilmu
dunia kita. Percayalah, jika akar kita dibaja dengan baik, maka baiklah
daun-daunnya, dan cantiklah bunga-bunganya serta sedaplah buah-buahnya.
Diri ini perlu dibajai dengan baja yakni pendidikan agama
yang baik. Melalui pendidikan agama, aspek lain tidak lagi perlu dirisaukan
kerana agama sudahpun mencakupi pelbagai bidang dari segi ibadah, ekonomi dan
masyarakat mahupun negara. Melaluinya
juga kita boleh menilai diri kita sama ada sudah bersedia mahupun tidak.
Antara persiapan yang perlu dilihat sebelum meneruskan ke
alam pernikahan selain persiapan agama pada diri kita perlu lihat bagaimana
pergaulan kita dengan ahli keluarga, adik-beradik? Bagaimana pergaulan kita
dengan rakan? Semua itu perlu dititikberatkan demi mencapai kebahagiaan semua
pihak.
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan)
dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki
dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka
dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya –
pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” Surah an-Nur ayat 32
Berkaitan pendapatan kekeluargaan, ayat diatas telah memberi
khabar berita gembira kepada mereka yang ingin berkahwin tetapi tidak yakin
terhadap perbelanjaan selepas berkahwin. Allah swt, menegaskan bahawa Dia yang
akan memberi perbelanjaan kepada mereka dengan secukupnya. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan segalanya.
Akhir kata, kepada pemuda diluar sana terutamanya lelaki
jangan takut pada isu perkahwinan. Sesungguhnya Islam itu mudah dan memudahkan.
Carilah pasangan itu dengan baik dan tidak terburu-buru. Berserahlah pada Allah
melalui solat sunat istikharah. Dan bertanya pendapat ahli keluarga. Carilah
mereka yang beragama, nescaya kehormatan dirimu sama ada suami mahupun isteri,
akan terjaga dengan baik. In shaa Allah. Wallahualam.
Nak kawen jgn lupa jemput ye
ReplyDelete