Pages

Tuesday, 14 October 2014

Halal atau Haram



Kini terdapat produk-produk makanan yang dijual dipasaran yang dapat memudahkan urusan harian kita seperti makanan tambahan, makanan segera dan lain-lain lagi dimana kesemua itu adalah dari campuran pelbagai bahan termasuk jenis kimia. Sebagai umat Islam, penyelidikan terhadap status kehalalan sesuatu makanan mahupun minuman itu perlu dititikberatkan demi mencapai kehendak syarak serta mendapat manfaat darinya.







"Hai orang-orang yang beriman makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu." Surah al-Baqarah ayat 172

Kata halal berasal dari bahasa arab yang bererti disahkan, diterima, dan dibolehkan. Suatu makanan/minuman tersebut dinyatakan sah (boleh) digunakan. Adapun yang berhak menghalalkan atau mengharamkan suatu makanan/minuman hanyalah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Halal ada dua, iaitu halal zatnya dan halal cara memperolehinya. Berikut ini penjelasan tentang keduanya.

a.        Halal zatnya
Halal zatnya bermakna makanan dan minuman tersebut memang berasal dari sumber/bahan yang halal. Seperti daging lembu, ayam, sayur dan lain-lain.

b.       Halal cara memperolehinya
Halal secara memperolehnya bermakna makanan/minuman yang digunakan diperolehi dengan cara yang sah dan dibenarkan menurut syarak, seperti yang diperolehi melalui perniagaan yang benar (tidak haram seperti melalui riba, rasuah dan sebagainya), bertani, saling memberi dengan izin (bukan mencuri) dan sebagainya.

Kali ini kita akan cuba menyentuh isu sumber yang halal zatnya. Bagaimana kita mahu memastikan kehalalannya? Pihak manakah yang bertanggungjawab atas halalnya sesuatu makanan? Dan apa yang kita perlu buat sekiranya tiada tanda halal pada sesuatu produk makanan?

Pertama sekali kita lihat di Malaysia. Badan pentadbiran yang menguruskan segala proses penghalalan adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM. Mereka bertanggungjawab dalam memberi pengiktirafan kepada sesebuah premis untuk memastikan adakah ianya halal untuk rakyat beragama Islam mendapatkan manfaat darinya. Antara pengiktirafan yang dilakukan oleh pihak JAKIM adalah memberi sijil kepada premis yang telah melalui saringan oleh JAKIM. Untuk produk pula, tanda halal akan dicop atau ditanda pada setiap produk untuk dipastikan kehalalannya.

Logo Halal terkini oleh JAKIM


Baiklah, tidak semua produk yang tidak mempunyai tanda atau logo halal adalah tidak halal. Kadang-kadang ada sesetengah pihak seperti usahawan kecil yang mengeluarkan produk dengan menggunakan logo halalnya sendiri atau menyatakan produk mereka ditanggung halal. Fungsi JAKIM adalah untuk rakyat lebih yakin dengan status produk tersebut.

Bagaimana pula tindakan kita terhadap produk tiada logo atau bukan logo dari pihak JAKIM? Situasi ini kita panggil was-was ataupun syubhah. Seperti Imam Hanafi, beliau seorang yang berhati-hati dengan syubhah. Sekiranya timbul syubhah, beliau akan segera menjauhinya. Sebagai manusia biasa kita tidak boleh yakin dengan sesuatu produk tanpa ada pemerhatian sendiri terhadap proses pembuatan makanan tersebut dari awal hingga akhir. Oleh itu, pihak JAKIM lah yang membantu kita untuk memastikan ianya halal untuk kita.

Dari Abi 'Abdillah Annu'man bin Basyir RA telah berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar (was-was) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barangsiapa menjaga dirinya dari barang-barang (perkara) yang samar itu, maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, dan barangsiapa yang jatuh dalam melakukan perkara yang samar-samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara haram seperti pengembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat-laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan ALLAH adalah apa-apa yang diharamkanNya.
Ingatlah bahawa dalam jasad itu ada sekerat daging, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya, dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ingatlah, itu adalah hati." Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim



Sekiranya sesuatu produk itu mengalami kontroversi seperti teragak-agak tentang kehalalannya, maka kita perlu segera menjauhinya. Keyakinan tidak boleh digunakan sesuka hati, melainkan kita melihat sendiri proses pembuatan secara keseluruhannya. Sekiranya tiada logo atau tanda yang mengatakan sesuatu produk itu halal, cenderungkanlah hati ini untuk mencari produk yang lain atau menyelidik sendiri sehingga hilangnya keraguan. Wallahualam

No comments:

Post a Comment